Lawatan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri (MTPNg) Selangor ke Klinik Desa Padang Jawa, Klang


Lawatan ini telah diketuai oleh Pengerusi MTPNg Selangor, YB Tan Sri Haji Noh bin Haji Omar bagi memantau projek menaiktaraf Klinik Desa Padang Jawa, Klang yang telah siap sepenuhnya dan telah beroperasi pada 11 April 2016. Lawatan ini turut dihadiri oleh Pegawai Kemajuan Negeri Selangor, YBhg. Dato’ Mohd Rosli bin Ramli, Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Malaysia, Pegawai PPPNS, Wakil Kementerian Kesihatan Malaysia, Pegawai Kesihatan Daerah, YDP JKKKP Parlimen Shah Alam, Pengerusi-pengerusi JKKKP Padang Jawa dan lain-lain.

Klinik Desa (KD) Padang Jawa, Klang telah dibina pada tahun 1970. Bangunan ini diperbuat daripada kayu sepenuhnya dengan keluasan bangunan 324.65m² yang meliputi sebuah bangunan klinik desa dan 2 unit kuarters. Keluasan kawasan klinik dan kuarters adalah 1,035m²  (0.1035 hektar). Bangunan KD dan kuarters telah dirobohkan dan dibina semula dengan menggunakan konsep IBS pada 21 Disember 2015 dengan kos sebanyak RM518,828.34 melalui kelulusan peruntukan BP00600 Tahun 2015 di bawah Kementerian Kesihatan.

Walau bagaimanapun, bangunan kuarters tidak dibina semula. Waktu operasi adalah dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Pada masa ini, kedatangan pesakit yang mendapatkan rawatan adalah antara 60 hingga 70 orang sehari. Perkhidmatan yang disediakan oleh klinik ini adalah rawatan kesihatan ibu hamil, rawatan ibu dan anak selepas bersalin, kesihatan kanak-kanak, kesihatan perancang keluarga, perkhidmatan lawatan ke rumah, khidmat kaunseling serta promosi kesihatan.


Tags: Program Mei 2016