Lawatan Pemantauan Pengurusan Pentadbiran Dan Kewangan (i-COMPLY) Bilangan 2 Tahun 2016


Lawatan Pemantauan Pengurusan Pentadbiran dan Kewangan (i-Comply) telah diadakan pada 3 hingga 5 Mei 2016. Seramai tiga orang pegawai dari Unit Integriti diketuai oleh Cik Waheeda binti Mohd Idris, Ketua Juru Audit, dua orang Unit Kewangan dan dua orang Unit Pentadbiran telah hadir semasa sesi lawatan ini. Tujuan lawatan pemantauan dijalankan adalah untuk meningkatkan lagi kualiti pengurusan pentadbiran dan kewangan dengan memastikan kawalan dalaman dan pematuhan kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan dalam pengurusan pentadbiran dan kewangan telah dilaksanakan dengan baik dan sempurna.

Pengauditan ini merangkumi lapan elemen utama iaitu Kawalan Pengurusan, Kawalan Terimaan, Kawalan Perbelanjaan, Kawalan Akaun Amanah & Deposit, Kawalan Perolehan, Kawalan Kenderaan, Kawalan Bajet, Kawalan Aset/Stor. Semakan yang dibuat meliputi tempoh tahun 2015 dan sehingga bulan Mei 2016 serta tahun-tahun terdahulu di mana perlu. Pengauditan dilaksanakan dengan beberapa kaedah iaitu menyemak rekod dan dokumen kewangan, temu bual dengan pegawai yang terlibat serta pemeriksaan fizikal dijalankan untuk memperkukuhkan ketepatan penemuan Audit.

Beberapa penemuan telah dikenal pasti dan telah dibentangkan semasa sesi Exit Conference pada 5 Mei 2016 kepada semua ketua seksyen/unit/zon yang terlibat. Pihak PPPNS telah diminta untuk mengemukakan maklum balas terhadap penemuan yang telah dibentangkan dalam tempoh 14 hari selepas penerimaan hardcopy laporan penemuan pengauditan PPPNS. Semasa sesi tersebut juga YBhg. Dato’ Mohd. Rosli bin Ramli, Pegawai Kemajuan Negeri Selangor telah memberikan ucapan sebagai penutup lawatan.