Lawatan Pemantauan Projek Kementerian Pendidikan Malaysia Cadangan Pembangunan Makmal Penyelidikan Fakulti Sains Gunaan (FSG) Serta Institut Pengajian Siswazah (IPSiS) di UiTM, Shah Alam.


29 Ogos 2018 - Lawatan pemantauan bagi Projek Pembangunan Makmal Penyelidikan Fakulti Sains Gunaan (FSG) serta Institut Pengajian Siswazah (IPSiS) di UiTM Shah Alam di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah diadakan pada 29 Ogos 2018 yang dihadiri oleh Puan Nurul Faizah binti Hamzah, Ketua Penolong Pengarah (Seksyen Pemantauan dan Penilaian), Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor serta Encik Mohd Fairuz bin Md Jani dan Puan Nurshahirah binti Mohd Hadzir, Penolong Pengarah (Seksyen Pemantauan dan Penilaian) Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor. Tujuan lawatan ini dibuat adalah untuk memantau projek-projek di dalam Rancangan Malaysia Ke-11 yang sedang dalam proses pelaksanaan.

Lawatan ini turut dihadiri oleh wakil daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), wakil daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Petaling serta wakil daripada pihak pengurusan Universiti Teknologi MARA. Sesi lawatan ini dimulakan dengan taklimat ringkas daripada Encik Mohd Hafiz bin Esa, Pengurus Projek daripada Worldbay Solution Sdn. Bhd., kontraktor yang dilantik untuk pelaksanaan projek ini.

Projek yang menelan belanja sebanyak RM21.08 juta ini telah bermula pada 15 Julai 2016 dan dijangka siap sepenuhnya pada 21 November 2018 setelah mengambil kira tempoh Extension of Time (EOT) yang telah diluluskan sebanyak 132 hari disebabkan beberapa perubahan yang didapati sepanjang tempoh pembinaan ini antaranya kelulusan baharu Shop Drawing berkaitan rekabentuk komponen IBS oleh pihak JKR, pembaikan dan pemulihan paip kumbahan sedia ada yang terkena cerucuk pembinaan dan penyerahan lukisan pembinaan (pindaan) struktur.