Lawatan Pemantauan Projek Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Penubuhan Makmal Analisis Bahan Senjata Kimia di Jabatan Kimia Malaysia


3 Julai 2018 - Lawatan pemantauan bagi projek Penubuhan Makmal Analisis Bahan Senjata Kimia di Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya telah diadakan pada 3 Julai 2018 dan diketuai oleh Puan Nurul Faizah binti Hamzah, Ketua Penolong Pengarah bersama-sama Encik Mohd Fairuz bin Md Jani, Penolong Pengarah (Seksyen Pemantauan dan Penilaian, Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor). Tujuan lawatan ini adalah memantau projek Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK11) bagi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Turut hadir dalam lawatan ini termasuklah wakil dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), wakil dari MOSTI serta wakil dari Jabatan Kimia Malaysia

Hasil daripada taklimat dan lawatan, tujuan utama Makmal ini dibina adalah untuk menjadikan Jabatan Kimia Malaysia sebagai pusat dan rujukan pakar bagi analisis senjata kimia. Untuk pengetahuan, kes pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jung Nam telah disiasat oleh pakar daripada Makmal Analisi Bahan Senjata Kimia, Jabatan Kimia Malaysia iaitu Dr. S. Raja. Manakala jumlah keseluruhan peruntukan bagi projek ini adalah bernilai RM7.5 juta, melibatkan 3 Fasa perancangan yang mengikut tahun bermula dari tahun 2016 sehinggalah tahun 2018.

Kaedah pelaksanaan adalah melalui proses runding terus, sebut harga dan tender. Didapati segala urusan projek yang berkaitan untuk Fasa 1 dan Fasa 2 telah pun selesai yang melibatkan pengubahsuaian bangunan makmal dan perolehan peralatan. Manakala peruntukan bagi tahun 2018 (Fasa 3) masih belum diperolehi menjadikan segala urusan perolehan tidak dapat dilaksanakan buat masa ini. Lawatan berakhir jam 11.30 pagi.