Mesyuarat Problem Solving Committee (PSC) Bil.1/2018


23 April 2018 - Mesyuarat Problem Solving Committee (PSC) Bil.1 Tahun 2018 telah diadakan di Bilik Mesyuarat PSGK, Pengkalan TUDM Subang. Mesyuarat ini telah diadakan rentetan daripada Lawatan pemantauan Projek Rancangan Malaysia ke-11 bagi projek Perolehan Empat (4) Buah Pesawat Airbus 400M (A-400M) dan Projek Infrastruktur bagi Penempatan dan Pengoperasian Pesawat A400M di Pangkalan Udara TUDM Subang di bawah Kementerian Pertahanan yang telah diadakan pada 18 Januari 2018. Beberapa isu-isu berbangkit telah dilaporkan semasa lawatan tersebut dan pihak TUDM memohon jasa baik pihak ICU Selangor untuk mengadakan satu pertemuan/mesyuarat dengan semua pihak yang berkaitan untuk menyelesaikan isu-isu tersebut.

Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh YBhg Dato’ Ahmad Husaini bin Abdul Rahman, Timbalan Pengarah Kemajuan Negeri (Operasi), Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor. Antara Wakil Jabatan/ Agensi yang dijemput termasuklah pihak Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, Suruhanjaya Tenaga (ST), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor.

Mesyuarat telah dimulakan dengan sesi bacaan doa dan sedikit kata-kata aluan dan pengenalan berkaitan Pengkalan TUDM Subang oleh Brigedier Jeneral Dato’ Haji Muhammad Mudzamir Ong bin Abdullah, Timbalan Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan Markas Tentera Udara. Mesyuarat diteruskan dengan taklimat penuh berkaitan isu-isu berbangkit oleh Leftenan Kolonel Mohamed Nizam. Antara isu/masalah yang dibangkitkan adalah Isu Banjir, Isu Kabel Eletrik 11kV dan Isu Kelulusan Kebenaran Merancang. Pihak-pihak yang dijemput telah memberi respons terhadap isu-isu ini dan pengerusi memohon supaya semua perkara yang telah dipersetujui akan diambil tindakan dengan segera. Manakala, Pihak ICU Selangor akan terus menyusul tindakan oleh Jabatan/ Agensi berkaitan agar masalah ini dapat diselesaikan. Mesyuarat berakhir pada jam 11.30 pagi.