Lawatan pemantauan bagi Perolehan Peralatan Pembelajaran dan Latihan bagi Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua


30 Mac 2018 - Lawatan pemantauan bagi Perolehan Peralatan Pembelajaran dan Latihan bagi Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua, di bawah Kementerian Belia dan Sukan telah diadakan pada 30 Mac 2018 dan dihadiri oleh Encik Mohd Fairuz bin Md Jani, Penolong Pengarah Seksyen Pemantauan dan Penilaian, Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor. Tujuan lawatan ini adalah untuk memantau projek-projek RMK-10 yang telah selesai urusan perolehannya yang dibawa ke RMK-11.

Pihak IKTBN Dusun Tua yang diketuai oleh Pengarahnya sendiri, Puan Dalila binti Sharingat bersama-sama dengan warga kerja, telah mengalu-ngalukan kehadiran wakil dari ICU Selangor dengan memberikan taklimat ringkas berkenaan latar belakang IKTBN Dusun Tua dan taklimat penuh berkaitan peralatan yang telah dibeli seterusnya sesi lawatan ke kelas/bengkel utama di mana peralatan-peralatan tersebut ditempatkan. Tujuan perolehan peralatan ini dibuat kerana ingin memenuhi keperluan Jabatan Pembangunan Kemahiran yang mensyaratkan beberapa jentera/peralatan perlu disediakan bagi mendapat Pentauliahan Program (Penuh) Sijil Kemahiran Malaysia dari Tahap 2 ke Tahap 3. Lawatan pemantauan berakhir pada jam 12.30 tengahari dengan jamuan tengahari bersama-sama dengan tenaga pengajar dan juga pelajar-pelajar yang selesai menjalankan aktiviti gotong royong 5S.