Seminar Transformasi Rakyat 2018 Parlimen Sepang


24 Februari 2018 -Koperasi Profesional Putrajaya Berhad, Persatuan Alumni Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA Malaysia dan Pertubuhan Alumni Penggerak Mahasiswa Universiti Malaya dengan kerjasama strategik Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri telah menganjurkan Seminar Transformasi Rakyat (STAR) dengan objektif untuk membangun dan membina generasi baharu TN50 yang lebih unggul, berdaya saing dan berkaliber.

Program ‘STAR Boost Income’ ini yang menyasarkan Ketua Isi Rumah (KIR) dan guru-guru khususnya golongan B40 turut bertujuan untuk memperkasa ekonomi rakyat menerusi kerjasama strategik dengan pelbagai agensi seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN), Yayasan Bank Rakyat, Majlis Amanah Rakyat (MARA), JobsMalaysia serta agensi-agensi lain

Penutupan program ‘STAR Boost Income’ bagi Parlimen Sepang telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, YBhg. Tan Sri Zainal Rahim bin Seman. Sebelum itu, semua peserta telah melalui padanan peluang-peluang perniagaan dan kerjaya daripada agensi yang terlibat, selain mendengar perkongsian motivasi daripada Dr. Mohammad Nawar Ariffin.

Turut hadir ialah Penyelaras Parlimen Sepang, Dato’ Marsum bin Paing, ADUN Dengkil, YB Shahrum bin Mohd Shariff, Pegawai Kemajuan Negeri Selangor, Dato’ Mohd. Rosli bin Ramli serta Pegawai Kemajuan Zon Sepang, En. Shamsul bin Abu Bakar.