LAWATAN KERJA YB TAN SRI HAJI NOH BIN HAJI OMAR, MENTERI KESEJAHTERAAN BANDAR, PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN (KPKT) KE DUN SRI ANDALAS


22 Januari 2018 -Menteri KPKT, YB Tan Sri Haji Noh Bin Haji Omar telah mengadakan lawatan kerja ke DUN Sri Andalas dan antara lokasi yang dilawati adalah di dua buah pangsapuri bertingkat/strata kos rendah iaitu Pangsapuri Sri Ayu dan Apartment Golden Villa (kos rendah) serta kawasan perumahan Kampung Dagang Jati, Klang.

Lawatan kerja ini adalah inisiatif pihak KPKT dan Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor bagi meninjau permasalahan rakyat dan membantu meningkatkan kualiti hidup serta kesejahteraan rakyat. Melalui lawatan kerja ini, YB Tan Sri Haji Noh Bin Haji Omar dapat beramah mesra dan mendengar luahan serta pandangan penduduk setempat. Lawatan kerja ini turut disertai oleh Koordinator Pembangunan Persekutuan Parlimen Kota Raja, YBhg. Datuk Kamaruzaman bin Johari, pegawai-pegawai kanan daripada KPKT dan Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor.

Lanjutan daripada lawatan kerja ini, KPKT telah meluluskan peruntukan sejumlah RM2.2 juta untuk Pangsapuri Sri Ayu meliputi projek bagi membina gelanggang futsal berbumbung, membina wakaf, baik pulih surau, menaik taraf gelanggang bola jaring/ gelanggang sukan dan membina pagar anti-climb bagi memastikan kawasan Pangsapuri Sri Ayu tidak diceroboh.

Semasa lawatan ke Apartment Golden Villa, YB Tan Sri Haji Noh Bin Haji Omar selaku Menteri KPKT turut meluluskan peruntukan sejumlah RM2.2 juta bagi menggantikan lif baru dan menukar tangki air. Di samping itu, beliau turut berbesar hati memberikan sumbangan kabin kepada KRT.

Lokasi terakhir lawatan di Kampung Dagang Jati turut menyaksikan beberapa kelulusan peruntukan melibatkan kerja baik pulih balai raya, naik taraf jalan dan bantuan baik pulih rumah kepada 20 buah keluarga telah diumumkan. YB Tan Sri Haji Noh Bin Haji Omar mengakhiri lawatan dengan menyertai solat Maghrib berjemaah di Surau Islamiyah, Taman Dagang Jati. Surau Islamiyah turut diluluskan peruntukan sejumlah RM450 ribu bagi menaik taraf pagar, membina menara pembesar suara dan membina gelanggang serbaguna berbumbung.