Lawatan Tapak Projek Membina Jalan di Kampung Limau Manis, Mukim Dengkil, Daerah Sepang


21 Februari 2017 - Lanjutan daripada Mesyuarat Penyelarasan Projek Membina Jalan di Kampung Limau Manis pada 31 Januari 2017 yang lalu, satu lawatan telah diadakan untuk menilai kesesuaian tapak secara keseluruhan supaya satu rekabentuk pembinaan jalan yang lengkap, ekonomi dan selamat dapat disediakan. Lawatan tapak ini juga bertujuan untuk meramal masalah-masalah yang bakal timbul sepanjang tempoh pembinaan dengan menentukan cadangan penyelesaian yang bersesuaian bagi memastikan pembinaan berjalan lancar.

Lawatan yang dianjurkan oleh Pejabat Kemajuan Zon Sepang dan Hulu Langat ini telah dihadiri oleh wakil-wakil daripada Pejabat Tanah/Daerah Sepang, Majlis Perbandaran Sepang, Jabatan Pengairan dan Saliran Sepang, Jabatan Kerajaan Tempatan KPKT serta wakil penduduk. Hasil daripada lawatan tersebut, kesemua pihak bersetuju untuk mengadakan sebuah mesyuarat teknikal bagi membincangkan rekabentuk jalan dan cadangan penyelesaian kepada masalah-masalah di tapak pembinaan.