Articles Tagged ‘Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor - Program Dis 2016’

Majlis Perasmian Hospital Shah Alam Oleh DYMM Sultan Selangor


1 Disember 2016 - Sejak Januari hingga September 2016, Hospital Shah Alam mencatatkan kedatangan pesakit seramai 45, 456 orang di Klinik Pakar. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, kedatangan pesakit ke Jabatan Kecemasan adalah seramai 61, 679 orang. Antara kemudahan yang terdapat di hospital tersebut adalah 10 buah dewan bedah dan 20 buah mesin Haemodoalisis. Majlis tersebut disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang turut diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin. Hospital Shah Alam merupakan salah satu projek kerajaan persekutuan yang siap dibina sepenuhnya Ogos lalu dan yang pertama di daerah Petaling.

Beberapa projek kini sedang dijalankan di negeri Selangor berikutan keprihatinan kerajaan kepada keperluan rakyat. Antaranya adalah Kompleks Obstetrik dan Kuarters Integrasi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Klinik Kesihatan Jenis Tiga di Kota Damansara dan Bandar Tun Hussein Onn. Selain itu, beberapa projek lagi kini dalam perancangan sebagai usaha memastikan penduduk di Selangor dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang lebih sempurna. Antara yang sedang dalam perancangan adalah pembinaan Hospital Tanjong Karang, Dewan Bedah dan CSSD Baru Hospital Banting, Pusat Kardiologi Hospital Serdang, 'Women and Child Health Care' (WCC) dan naiktaraf Hospital Kajang


Mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan Negeri (MTPNg) Selangor Bil. 9 Tahun 2016


6 Disember 2016 - Di dalam perutusan YB Tan Sri Pengerusi semasa mesyuarat tersebut, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada YB Datuk Halimaton Saadiah binti Bohan di atas penganugerahan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk. YB Tan Sri Pengerusi juga mengucapkan selamat datang kepada Pengarah Audit Selangor yang baru iaitu Encik Abdul Ghani bin Md. Lakin dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara Negeri Selangor yang baru iaitu Encik Sophian Isswandy bin Ismail.

YB Tan Sri Pengerusi memaklumkan bahawa dewan rakyat pada 22 November 2016 telah meluluskan Rang  Undang-undang Perbekalan 2017 atau Bajet 2017 berjumlah RM260.8 bilion dan seterusnya akan dibahaskan di Dewan Negara pada 13 dan 14 Disember 2016. Sejumlah RM2.5 bilion telah diperuntukan bagi tahun 2017 untuk Negeri Selangor yang melibatkan 253 projek baru dan sambungan daripada 21 kementerian. Diharap setiap kementerian/jabatan dapat bersiap sedia dan menyusun projek-projek yang telah diluluskan agar tiada projek terbengkalai dan dapat digunakan sepenuhnya setelah siap kelak.

YB Tan Sri Pengerusi seterusnya memaklumkan bahawa satu pertemuan akan diadakan bersama-sama Pengarah Jabatan dan Agensi Persekutuan di Selangor pada 26 Januari 2017 di Shah Alam untuk menyampaikan amanat serta memperkenalkan Ahli Parlimen, ADUN, Penyelaras dan Koordinator kepada semua supaya hubungan yang lebih akrab dapat terjalin. 

Sebanyak dua kertas taklimat telah dibentangkan semasa mesyuarat tersebut. Taklimat yang dibentangkan adalah:

1. Langkah-langkah Persediaan bagi Menghadapi Musim Tengkujuh di Selangor oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor.

2. Program-program yang Dilaksanakan oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) di Selangor oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri Selangor.