Articles Tagged ‘Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor - Soalan Lazim’

Soalan Lazim/FAQS

    • Apakah itu Sistem Pemantauan Projek II (SPP II) dan organisasi mana yang terlibat dalam pelaksanaannya?
      SPP II ialah satu sistem di bawah Kerajaan Elektronik yang merupakan salah satu aplikasi perdana di bawah Multimedia Super Koridor (MSC). Bermula pada tahun 1999, Ia telah di laksanakan dan dilancarkan secara rasmi pada 8 Mei 2001 oleh Mantan YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri ( ICU JPM) dipertanggungjawabkan untuk membangunkan sistem ini. Secara keseluruhan, skopnya meliputi semua proses pelaksanaan pembangunan projek Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT) bermula daripada perancangan projek hinggalah ke proses pembayaran projek. Agensi utama yang terlibat selain daripada ICU JPM ialah Unit Perancang Ekonomi (UPE) , Perbendaharaan, Jabatan Akauntan Negara (JANM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR). Semua Kementerian dan Jabatan/Agensi yang terlibat dalam pelaksanaan projek pembangunan di bawah Peruntukan Belanja Pembangunan merupakan pengguna utama sistem ini di samping Pejabat Pembangunan Negeri dan Pejabat Daerah sebagai agensi pemantauan peringkat Negeri dan Daerah.

    • Siapakah pengguna SPP II?
      Pengguna SPP II adalah terdiri daripada semua kementerian dan agensi yang terlibat.

    • Apakah saluran untuk melaporkan masalah berkaitan pelaksanaan dan penggunaan SPPII?
      Pengguna perlu membuat log masalah tersebut ke dalam sistem Call Centre atau telefon ke talian 03-8000 8000 tindakan selanjutnya oleh Pentadbir SPP II.

    • Apakah projek-projek yang dipantau oleh SPP II?
      Projek-projek yang dipantau dalam SPP II adalah projek-projek pembangunan kerajaan persekutuan di bawah Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT) dan Private Finance Initiatives(PFI).

    • Bolehkah ia dicapai di mana-mana lokasi? 
      SPP II boleh dicapai di mana-mana lokasi yang mempunyai capaian Putrajaya Campus Network (PCN) dan 1GovNet.
    • Apakah yang dimaksudkan dengan Projek Khas?
    • Projek Khas adalah projek-projek yang dibiayai di bawah peruntukan belanja  mengurus yang mempunyai matlamat seperti berikut :
      1. Untuk membantu dan melaksanakan program dan projek dibawah RMLT (Rancangan Malaysia Lima Tahun)
      2. Memberi peluang rakyat untuk menikmati projek sosial dan kemudahan awam dengan lebih cepat terutamanya projek kecemasan
      3. Melibatkan rakyat dalam proses perancangan dan pelaksanaan projek-projek

    • Apakah eKasih?
      Sistem eKasih ialah satu sistem pengkalan data keluarga miskin yang diwujudkan diperingkat nasional bagi membantu merancang, melaksana dan memantau program kemiskinan.

    • Sejak bila eKasih diwujudkan?
      eKasih diwujudkan susulan daripada keputusan mesyuarat, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 31 Oktober 2007 dan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri pada 1 November 2007. Bertitik tolak dari keputusan itu, ia mula dibangunkan secara in-house oleh ICU JPM dan mula digunakan pada Jun 2008.

    • Apakah sumber data dan maklumat yang dimasukkan ke dalam eKasih?
      Data dan maklumat yang dimasukkan ke dalam eKasih adalah berasaskan kepada Banci Isi Rumah Miskin (BIRM). BIRM adalah program banci dengan pendekatan isi rumah dan bukan individu. Ia dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOS) dengan hasil banci diserahkan kepada ICU JPM sebagai input utama kepada eKasih. BIRM terdiri daripada dua fasa. BIRM Fasa I dijalankan secara menyeluruh merangkumi kawasan bandar dan luar bandar bermula Disember 2007 sehingga Jun 2008 dengan rangka (frame) secara khusus diperolehi berdasarkan kepada senarai UPIS (KPKT) dan SPKR (KKLW) yang terkini pada masa itu. BIRM Fasa I juga dijalankan dengan merangkumi kawasan ‘pocket of poverty’ (kawasan berpendapatan rendah dan kawasan sekitarnya berdasarkan Penyiasatan Pendapatan Isirumah (HIS) yang dijalankan oleh DOS) bagi memantapkan frame. Walaubagaimanapun, terdapat kawasan yang tidak diliputi, iaitu kawasan perkampungan Orang Asli, kawasan FELDA dan kawasan estet/ladang yang mempunyai pentadbiran sendiri. Bagi memantapkan senarai di dalam eKasih, BIRM Fasa II telah dijalankan bermula Januari 2008 sehingga Julai 2009 dengan verifikasi dilakukan terhadap senarai (yang dianggap miskin) yang diterima daripada Ahli Parlimen/ADUN dan agensi- agensi diperingkat negeri. Selain daripada itu, mekanisma pendaftaran terbuka di dalam eKasih juga merupakan sumber data dan maklumat yang terkandung di dalam eKasih. Isirumah yang telah dilakukan verfikasi di lapangan dan menepati kriteria-kriteria eKasih, layak dimasukkan ke dalam eKasih.

    • Adakah terdapat nama mereka yang miskin tetapi tidak didaftarkan ?Apakah langkah untuk mengatasi perkara ini?
      Di dalam sebarang program banci, kes ‘keciciran’ pasti berlaku dan tidak dapat dielakkan. Hasil bancian tidak wajar dianggap 100% sempurna. Faktor seperti keciciran liputan, rangka (frame) yang tidak menyeluruh dan faktor-faktor lain menjadi penyumbang kepada perkara ini. Antara lain, terdapat juga beberapa faktor seperti tiada sesiapa di rumah selepas 3 kali lawatan dalam masa yang berlainan oleh pembanci, alamat yang diperolehi tidak lengkap/ tidak tepat/tidak diketahui/tidak dikenali, telah berpindah dan juga enggan memberi kerjasama kepada pembanci. Pelbagai langkah dan inisiatif dilakukan dalam mengatasi perkara ini. Antaranya, BIRM Fasa II yang dilakukan khusus bagi memantapkan senarai eKasih yang dianggap keciciran dan kerjasama dengan pihak NGO/Agensi berkaitan dengan program kebajikan dan pembasmian kemiskinan bagi mendaftarkan mereka yang layak. Selain itu, sistem eKasih sendiri yang mempunyai mekanisma Pendaftaran Terbuka di mana ia membolehkan orang awam melapor dan mendaftarkan ketua/ahli/keluarga/isirumah (yang mereka kenali) yang dirasakan miskin untuk tindakan selanjutnya oleh ICU JPM/PPN. Sekiranya layak dan menepati kriteria, isirumah tersebut akan dimasukkan ke dalam eKasih.

    • Siapakah yang layak mendaftar di dalam eKasih?
      Selain mereka yang memenuhi kriteria status kemiskinan bedasarkan pendapatan per kapita isirumah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2007, mereka yang layak mendaftar dan dimasukkan ke dalam eKasih adalah isirumah yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan di kawasan luar bandar dan RM1,500 di kawasan Bandar..

    • Bagaimana untuk mendaftar?
      Pendaftaran atas talian (online) boleh dilakukan dengan melayari laman sesawang www.ekasih.gov.my.

    • Apakah yang dimaksudkan dengan Ketua Isi Rumah (KIR)?
      Ketua Isi Rumah adalah daripada kalangan ahli isirumah sesuatu tempat kediaman yang bertanggungjawab atau diberitanggungjawab terhadap kebajikan ahli isi rumah dimana dia tinggal.

    • Apakan peranan dan tugasan Pejabat Pembangunan Negeri?
      Antara peranan dan tugasan Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor ialah :
    • 1. Menjadi Urus Setia Mesyuarat Tindakan Persekutuan Negeri Selangor dan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pembangunan Negeri Selangor Yang Diwujudkan Di Bawah Arahan No. 1, 2001-Jentera Penyelarasan Pelaksanaan Dasar Wawasan Negara.
      2. Menyelaras, Memantau Dan Menilai Dasar Dan Pelaksanaan Projek Pembangunan Rancangan Malaysia Lima Tahun.
      3. Mengurus, Melaksana, Memantau Dan Menilai Projek-Projek Kecil Di Bawah Peruntukan ICU JPM.
      4. Bertanggungjawab menyediakan maklumbalas secara berkala mengenai prestasi kewangan dan fizikal projek-projek khas yang diminta oleh Ibu Pejabat dari masa ke semasa.
      5. Memberi ulasan ke atas permohonan projek-projek khas yang diminta oleh Ibu Pejabat dari masa ke semasa.
      6. Campur tangan dalam menyelesaikan projek-projek yang bermasalah di peringkat Negeri Selangor.