Lawatan Pemantauan Projek Kementerian Dalam Negeri Pembinaan Kuarters Kakitangan Klinik Cure & Care 1 Malaysia


27 Ogos 2018 - Lawatan pemantauan bagi Projek Pembinaan Kuarters Kakitangan Klinik Cure & Care 1 Malaysia (C&C) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah diadakan pada 27 Ogos 2018 dihadiri oleh Puan Nurul Faizah binti Hamzah, Ketua Penolong Pengarah (Seksyen Pemantauan dan Penilaian), Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor dan Encik Mohd Fairuz bin Md Jani dan Puan Nurshahirah binti Mohd Hadzir, Penolong Pengarah (Seksyen Pemantauan dan Penilaian) Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor. Tujuan lawatan ini dibuat adalah untuk pemantauan projek-projek Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang sedang dalam proses pembinaan.

Lawatan ini turut dihadiri oleh wakil daripada Unit Penyelarasan Perlaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri, wakil daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), wakil daripada Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKRM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Sepang. Sesi lawatan ini dimulakan dengan taklimat ringkas daripada Encik Muhammad bin Chik, Pengurus Projek daripada Europlex Sdn. Bhd., kontraktor yang bertanggungjawab dalam pembinaan kuarters ini.

Projek yang menelan belanja sebanyak RM11.65juta ini telah bermula pada 18 September 2017 dan dijangka siap sepenuhnya pada 11 November 2019 setelah mengambil kira tempoh Extension of Time (EOT) yang telah diluluskan sebanyak 85 hari disebabkan rekabentuk semula cerucuk kerana penanaman cerucuk asal didapati gagal. Setakat ini kerja-kerja tanah dan pemasangan topi cerucuk yang baharu hampir selesai (74 daripada 97 topi cerucuk telah siap dipasang). Kontraktor memaklumkan kerja-kerja pemasangan ground beam akan dimulakan tidak lama lagi.