Lawatan Pemantauan Projek Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi 'Enhancing Biodegradation and Composting Facilities to Support Malaysia's Green Growth, SIRIM Berhad


3 Julai 2018 - Lawatan pemantauan bagi projek Enhancing Biodegradation and Composting Facilities to Support Malaysia’s Green Growth, SIRIM Berhad, Shah Alam telah diadakan pada 3 Julai 2018 dan diketuai oleh Encik Mohd Fairuz bin Md Jani, Penolong Pengarah (Seksyen Pemantauan dan Penilaian, Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor). Tujuan lawatan ini adalah memantau projek Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK11) bagi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Turut hadir dalam lawatan ini termasuklah wakil dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), wakil dari MOSTI serta wakil dari SIRIM Berhad sendiri.

Hasil daripada taklimat dan lawatan, tujuan utama makmal ini dinaiktaraf adalah untuk menampung permintaan pihak industri untuk kemudahan pengujian biodegradasi di Malaysia. Kemudahan yang sedia ada tidak dapat menampung permintaan daripada pihak industri yang terpaksa menampung kos yang tinggi untuk melakukan ujian yang berkaitan di luar negara.  

Jumlah keseluruhan peruntukan bagi projek ini adalah bernilai RM4.05 juta, melibatkan 2 Fasa perancangan yang mengikut tahun bermula dari tahun 2018 sehinggalah tahun 2019. Kaedah pelaksanaan adalah melalui proses runding terus, sebut harga dan tender. Didapati segala urusan projek yang berkaitan untuk Fasa 1 telah pun selesai yang melibatkan pengubahsuaian bangunan makmal dan perolehan peralatan yang berjumlah RM790,000.00. Manakala baki peruntukan berjumlah RM3.26 juta akan diturunkan pada tahun hadapan untuk pembelian peralatan yang akan melengkapkan keseluruhan keperluan makmal tersebut. Lawatan berakhir pada jam 4.30 petang.