Lawatan Pemantauan Projek Kementerian Pendidikan Malaysia Sekolah Daif Daerah Kuala Langat (Pakej 3)


27 April 2018 - Lawatan pemantauan bagi Projek Sekolah Daif, Daerah Kuala Langat di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah diadakan pada 27 April 2018 dihadiri oleh Puan Nurul Faizah binti Hamzah (Ketua Penolong Pengarah) dan Encik Mohd Fairuz bin Md Jani (Penolong Pengarah) dari Seksyen Pemantauan dan Penilaian, Pejabat Kemajuan Persekutuan Negeri Selangor. Tujuan lawatan ini dibuat adalah untuk membuat semakan di tapak, berkenaan pembinaan bangunan bilik darjah setingkat dengan menggunakan kaedah Industrial Building System (IBS). Projek Sekolah Daif tahun 2018 mengandungi 5 PAKEJ yang mencakupi kesemua daerah di Negeri Selangor dan Daerah Kuala Langat adalah termasuk di dalam Pakej 3. Sekolah-sekolah yang terpilih dalam projek ini adalah berdasarkan kriteria bilangan murid yang tinggi berbanding bilangan kelas yang sedia ada.

Lawatan ini diketuai oleh Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Langat selaku Wakil Pengawai Penguasa (WPP) dan turut dihadiri oleh wakil daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), wakil daripada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), wakil daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor serta wakil daripada pihak kontraktor, Teamcoat Engineering Sdn. Bhd.

Sesi ini dimulakan dengan taklimat ringkas daripada Jurutera Daerah (JKR) Kuala Langat di Pejabat Tapak berkaitan dengan projek serta status kemajuan fizikal untuk lima (5) buah sekolah yang terlibat di Daerah Kuala Langat. Seterusnya sesi lawatan ke tapak projek dilakukan ke atas tiga (3) buah sekolah yang terdekat iaitu Sekolah Kebangsaan Jenjarom, Sekolah Kebangsaan Kebun Baharu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sijangkang Jaya. Sesi lawatan berakhir jam 12.30 tengahari.