Kursus Peningkatan Kemahiran Dan Keusahawanan Peserta Kios Penjaja Bandar Fasa 2 Tahun 2017


13 Mei 2018 - Seksyen Pembasmian Kemiskinan PPPN Selangor telah berjaya mengadakan satu program Kursus Peningkatan Kemahiran Dan Keusahawanan kepada peserta penerima bantuan Kios Penjaja Bandar Fasa 2 Tahun 2017 yang berjumlah seramai 26 orang dari pelbagai latarbelakang perniagaan serta dari pelbagai kawasan Parlimen/DUN. Program ini telah berlangsung selama 3 hari 2 malam bermula dari 13hb hingga 15hb Mei bertempat di Hotel Lexis, Port Dickson.

Objektif pelaksanaan kursus ini adalah bagi memberikan suntikan motivasi dan semangat kepada peserta dalam urusan perniagaan dan juga memberi kefahaman ilmu dalam aspek perniagaan, pengurusan kewangan serta tatacara pengendalian makanan. Di samping itu, para peserta diberi peluang mendekati usahawan yang telah berjaya dalam sesi lawatan ke perusahaan “Sabak Salai” yang menjalankan perniagaan makanan salai dan makanan sedia dimakan (ready to eat) seperti daging dalai, keli salai, pek masak lemak dan sebagainya. Selain itu, peserta juga dibawa ke perusahaan biskut (Heliz Cookies) dan perusahaan pembuatan mi kuning (Safira Mee).

Lawatan ini diadakan bagi mendekati usahawan yang berjaya untuk saling berkongsi ilmu dan pengalaman serta membuka minda para peserta untuk terus memperoleh pelbagai idea dalam bidang perniagaan. Intipati dari kursus ini adalah dengan memberikan sebanyak mungkin ilmu serta tips bagi meningkatkan kemahiran perniagaan setiap peserta penerima bantuan agar dapat membantu mereka meningkatkan pendapatan serta taraf hidup seterusnya menjadi usahawan yang berjaya satu hari kelak.