Majlis Penyerahan Projek HAB Jalan Othman, Petaling Jaya


13 April 2018 - Majlis Penyerahan Projek HAB Jalan Othman, Petaling Jaya telah berlangsung pada 13 April 2018. Puan Nurul Faizah binti Hamzah (Ketua Penolong Pengarah) dan Encik Mohd Fairuz bin Md Jani (Penolong Pengarah) dari Seksyen Pemantauan dan Penilaian telah mewakili Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor ke majlis tersebut.

Majlis yang bermula pada jam 9.30 pagi ini dimulakan dengan bacaan doa daripada wakil Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), diikuti ucapan aluan daripada Pengarah Kejuruteraan, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Tuan Ir. Ismail bin Shafie. Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan daripada Tuan Veejendran a/l Ramdas, Setiausaha Bahagian Logistik dan Pengangkutan Darat, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT). Agenda seterusnya diteruskan dengan sesi menandatangani dokumen penyerahan HAB Jalan Othman, Petaling Jaya antara pihak MBPJ dan MOT yang telah disempurnakan oleh Tuan Ir. Ismail bin Shafie dan Tuan Veejendran a/l Ramdas.

Seterusnya, Tuan Ir. Ismail bin Shafie telah mengetuai lawatan ke tapak projek bersama-sama wakil daripada MOT, ICU JPM (Selangor) serta wakil-wakil daripada pihak media. Majlis diakhiri dengan jamuan ringan pada jam 11.00 pagi.