Lawatan Kerja Menteri Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di DUN Semenyih


5 Februari 2018 -Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tan Sri Noh Hj. Omar telah mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM11.0 juta untuk penambahbaikan rumah pangsa kos rendah dan sederhana di sekitar DUN Semenyih sewaktu menghadiri Lawatan Kerja YB Menteri KPKT di sini.

Menurut beliau, pihaknya menerima permohonan itu daripada ADUN Semenyih, YB Datuk Johan b. Hj. Abdul Aziz dan kelulusan diberi selepas kementerian melihat adanya keperluan menjalankan kerja pembaikan dan naiktaraf di kawasan terlibat. Beliau berharap projek penambahbaikan tersebut dapat dijalankan segera untuk kemudahan penduduk di kawasan tersebut.

Peruntukan tersebut akan digunakan untuk membaikpulih bumbung, paip sanitari dan mengecat bangunan di Pangsapuri Fasa 5 Bandar Teknologi Kajang, Pangsapuri Prima Cempaka dan Pangsapuri Baiduri Fasa 6, Bandar Tasek Kesuma.

Program tersebut turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, YB Datuk Johan bin Hj. Abdul Aziz, Pegawai Kemajuan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Rosli bin Ramli, Pegawai Kemajuan Zon Sepang, En. Shamsul Abu Bakar dan pegawai-pegawai PPPNS.