Program Bantuan Baik Pulih Rumah Secara Gotong Royong Touch Point ICU JPM Peringkat Parlimen Kuala Langat


17 September 2017 - Program Bantuan Baik Pulih Rumah Secara Gotong Royong (BBPR) Touch Point ICU JPM Tahun 2017 di Parlimen Kuala Langat dilaksanakan di 10 buah rumah di Parlimen Kuala Langat. Pelancaran program peringkat Parlimen Kuala Langat ini telah dirasmikan oleh YBhg Dato’ Haji Sulaiman bin Haji Mohd Karli, Yang DiPertua JKKKP Parlimen Kuala Langat merangkap Koordinator DUN Sijangkang. Sepuluh buah rumah telah dipilih untuk pelaksanaan baik pulih melibatkan lapan buah kampung iaitu Kampung Melayu Pulau Carey, Kampung Jenjarom, Kampung Sungai Rambai, Kampung Kanchong Tengah, Kampung Bandar, Kampung Sawah, Kampung Medan dan Kampung Sungai Buaya. Program Bantuan Baik Pulih Rumah ini bertujuan bagi meningkatkan impak sosial kepada isi rumah yang terlibat dan keberhasilan yang disasarkan adalah peningkatan kualiti kehidupan golongan sasar.

Program ini dilaksanakan secara gotong-royong yang melibatkan agensi kerajaan seperti Pejabat Pertahanan Awam Malaysia Daerah Klang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Kuala Langat, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Kuala Langat, Majlis Belia Selangor Daerah Kuala Langat, Kelab Beliawanis Seri Sepang, Pusat GIATMARA Kuala Langat, JKKKP serta penduduk kampung. Kerja-kerja baik pulih adalah melibatkan kerja baik pulih asas seperti membaik pulih bumbung rumah, siling, cat luar dan dalam rumah, membaiki papan lapis dinding, tingkap, pendawaian elektrik dan membina tandas.