Program Bantuan Baik Pulih Rumah Di Bawah Projek Touch Point ICU JPM Tahun 2017


29 Julai 2017 - Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor telah mengadakan satu pelancaran program yang dinamakan “Program Bantuan Baik Pulih Rumah Di Bawah Projek Touch Point ICU JPM Tahun 2017” di mana program ini adalah pertama kali diadakan dan meliputi pelaksanaannya di seluruh negara. ICU JPM telah diamanahkan sebagai lead agency kepada projek baik pulih rumah ini yang bertujuan bagi meningkatkan impak sosial kepada isi rumah yang terlibat dengan projek ini dan keberhasilan yang disasarkan adalah peningkatan kualiti kehidupan golongan sasar. Pelancaran program ini telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah ICU JPM, YBhg. Datuk Seri Ahmad Zaki Ansore bin Mohd Yusof di Kampung Melayu Pulau Carey, Kuala Langat, Selangor. Pelaksanaan program bantuan ini akan dilaksanakan di 9 buah Parlimen iaitu Parlimen Sabak Bernam, Sungai Besar, Kuala Selangor, Tanjong Karang, Hulu Selangor, Gombak, Shah Alam, Kuala Langat dan Sepang. 

Dalam program ini, beberapa jabatan dan agensi sukarelawan iaitu Angkatan Pertahanan Awam Daerah Klang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Kuala Langat, Giatmara Daerah Kuala Langat, Majlis Belia Daerah Kuala Langat, Kelab Beliawanis Seri Sepang, JKKKP serta penduduk kampung telah bekerjasama secara bergotong-royong bagi membaikpulih 2 buah rumah keluarga miskin tegar / miskin yang disahkan dalam senarai eKasih. Kerajaan telah berhasrat bagi membantu membaikpulih kedua-dua rumah keluarga ini seperti membaikpulih bumbung rumah, membaiki papan lapis dinding, membaik pulih cat dalam dan luar rumah, membaiki tingkap, membekal dan memasang siling, pendawaian elektrik, pemasangan table top di dapur serta membina satu unit tandas.