Program Jom Bantu Rakyat Bersama Perdana Menteri Malaysia Bagi Daerah Kuala Selangor


3 Februari 2017 - Kerajaan akan mengguna pakai dua pendekatan baharu dalam mendekati rakyat iaitu subsidi bersasar dan interaksi tanpa protokol, kata Datuk Seri Najib Tun Razak di Program Jom Bantu Rakyat Bagi Daerah Kuala Selangor di Sekolah Kebangsaan Ijok, Kuala Selangor. Perdana Menteri berkata sistem bantuan subsidi bersasar akan menggantikan subsidi secara pukal yang dilaksanakan bagi memastikan tiada pembaziran dan ketirisan dalam sistem pelaksanaannya dan kerajaan kini mahu memilih pendekatan yang membolehkan pemimpin dapat berinteraksi dengan rakyat tanpa terikat dengan protokol ketat yang diamalkan sebelum ini.

Perdana Menteri dalam kunjungan ini turut mengumumkan peruntukan RM1.5 juta untuk membangunkan Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kampung Sungai Sembilang di sini sebagai hab agro pelancongan utama di negara ini. Pada majlis itu, Perdana Menteri turut melancarkan monumen Transformasi Nasional 2050 (TN50) SK Ijok sebagai simbolik kepada usaha serta visi kerajaan dalam membentuk hala tuju negara bagi tempoh 30 tahun akan datang. Beliau juga melawat dan memberikan sumbangan barang keperluan asas kepada seorang ibu tunggal, Mariamah Haji Yaakob, 70, di rumahnya di Kampung Jalan Kemajuan, Batu 8, Ijok.